Wednesday, October 29, 2008

Cuti Deepavali



Cuti Perayaan Deepavali, saya sekeluarga menghabiskan masa bersama dengan mengunjugi Kinokuniya. Tiba saja di KLCC, saya dan keluarga bergegas ke Kinokuniya (walhal masa tu baru pukul 10.30 pg.). Bukan apa, perasaan mahu menikmati suasana tempat yang di penuhi buku-buku begitu mengujakan dan perasaan itu dikongsi bersama dengan isteri serta anak. Sampai saja di Kinokuniya kami berpecah mengikut selera pembacaan masing-masing. Sempat juga berpesan pada isteri dan anak agar beli buku yang penting saja (selalunya orang yang tidak mematuhi pesanan itu adalah diri saya sendiri, hehe..). Hampir pukul 1.00 ptg. kami keluar dari Kinokuniya itupun setelah perut berkeroncong menahan lapar. Kalau tidak lamalah lagi bertapa kat dalam. Antara buku yang dibeli :

Untuk diri sendiri
1.Pemikiran Hamka – Sidek Baba
2.Rahsia Keberkatan Sembahyang Subuh – Abdul Hakim Raimi
3.Falsafah Hidup – Hamka
4.Lantai T. Pinkie – A. Samad Said

Untuk isteri
1.Didik Anak Cara Rasullullah S.A.W – Muhammad Nur Abdullah Hafiz Suaid
2.Amalan dan Nasihat Bagi Ibu Hamil – Fatimah Hj. Omar

Untuk anak
1.Belajarlah Sayang – Bahasa Melayu
2.Kami Suka Epal
3.Si Penjual Keldai Dengan Anaknya

Setelah segalanya selesai kami bertolak ke Port Dickson untuk bermalam. Anakku asyik mengingatkan saya agar hotel yang dipilih memiliki kolom renang dan peringatan itu selalunya diulang-ulang sehinggalah hajatnya benar-benar tercapai (kalau saya kecil masa tu agaknya lebih lagi saya buat pada ayah saya :)).

Pada keesokkan harinya, saya dan anak-anak mandi di kolam renang. Jenuh juga melayan tapi seronok melihat telatah mereka terutama anak sulung saya yang beberapa kali terminum air kolam. Sedang asyik bermain air, saya didatangi seorang penjaga kolam dan menyatakan undang-undang semasa berada di kolam renang antaranya adalah membuka baju bagi lelaki. Saya terkedu seketika dan secara spontan menjawab “Nanti nampaklah aurat saya” tutur saya dengan muka tak bersalah padanya.”Saya terpaksa menyatakan perkara ini kerana takut nanti dimarahi oleh boss” jawabnya sambil menunjukkan muka serba-salahnya. Saya tidak menjawab apa-apa lagi dan memujuk anak saya untuk menyudahi mandianya (selalunya anak saya akan menangis kuat terlebih dahulu sebelum menurut kemahuan saya tapi mungkin dia sudah menyedari perkara yang telah berlaku tadi).

Sambil berjalan beriringan bersama keluarga, fikiran saya tertanya-tanya kenapa peraturan ini dibuat sedemikian rupa?Apa tujuan di sebaliknya? Yang paling penting sekali, kenapa penindasan ini dilakukan di negara yang agama rasminya adalah Islam? Saya berpendapat bahawa pihak pengurusan hotel tidak peka dengan masyarakat di sekeliling. Apa agama masyarakat yang diamalkanya dan budaya apa yang dipakainya. Saya percaya, bukan semua hotel yang mempunyai masalah sedemikian tetapi ianya perlu ditangani segera supaya tidak terjebak lebih berleluasa. Ini baru peraturan di hotel, bagaimana dengan peraturan-peraturan di badan kerajaan dan bukan kerajaan contohnya (terutamanya bukan kerajaan). Adakah ianya mengikut apa yang termaktub seperti yang dikehendaki di dalam Islam? Ataupun cedokanya terlalu dalam sehinggakan lebihnya barat daripada barat?