Monday, May 5, 2008

Masa Kualiti

Hari Sabtu bersamaan 3.5.08, aku bersama-sama keluarga menziarahi adikku di Batu Pahat. Setelah bertangguh hampir dua kali, inilah kesempatan yang ada. Mak dan ayah tersenyum manis apabila aku mengajak mereka turut serta. Teringat kepada suatu peristiwa di mana pernah Rasulullah s.a.w ditanya: Mana satu manusia yang paling utama? Sabda Rasulullah s.a.w.: "Orang yang paling banyak taqwanya kepada Allah, paling tererat sekali perhubungannya dengan keluarga, paling suka menyuruh berbuat kebaikkan dan melarang berbuat kemungkaran."-Rujukan Bimbingan Mukmin (hak kaum kerabat dan keluarga), Imam Ghazali.

Kami telah menetapkan aktiviti yang perlu dilakukan adalah makan nasi briyani gam. Dengan pertolongan daripada kawan adikku, Restoran nasi briyani power telah menjadi pilihan. Bukan sahaja nasi briyaninya yang lazat malah keadaan restorannya bersih dan kemas serta begitu selesa untuk dikunjungi.

Kami menghabiskan masa bersama dengan berbual-bual mesra. Anakku yang sulong paling mencuri tumpuan dengan bacaan doa dan mengeja beberapa patah perkataan yang dipelajarinya di sekolah Pasti.. Entah kenapa dia tidak menunjukkan sikap pemalunya pada hari itu. Mungkin setelah mendengar nasihat daripada tok Samad (A. Samad Said) semasa kami bertemu di Pesta Buku Antarabangsa KL 2008. "Kenapa perlu malu", tutur tok samad pada anak sulong saya ketika enggan berjabat tangan.

Besar sekali tanggungjawabku malah seluruh ibubapa agar anak-anak dapat menjadi anak yang soleh dan solehah kerana menurut sebuah hadith, Rasulullah s.a.w bersabda "Adalah menjadi hak bagi anak ke atas ayahnya, agar ia memperelokkan budi pekertinya dan membaguskan namanya".