Friday, May 16, 2008

Hari Guru

SELAMAT HARI GURU PADA MEREKA YANG BERJUANG DEMI KEPENTINGAN UGAMA DAN TANAHAIR. HANYA ALLAH S.W.T YANG DAPAT MEMBALAS JASA MEREKA.
-TERIMA KASIH GURU-

Tuesday, May 13, 2008

Sayang Ibu - Sempena Hari Ibu

Ibu pasti sengsara ketika melahirkanku sesudah 9 bulan mengusung tanpa jemu dan ragu. Kasihnya padaku seperti air hujan yang membasahi bumi, meresap masuk buat kehidupan yang mengharap. Wajah ibu tampak girang terpandangkan aku. Suara tangisan kerasku(ucapan terima kasih kerna melahirkanku), tangan tergigil menerawang(mahu mendakap ibu) dan mata terkatup rapat(khusyuk berdoa untuk kesihatan ibu) mengisi saat bahgia ibu. Kesakitan yang ditanggung hanya untukku...tandanya kasih ibu.

Bulan berganti bulan, tahun silih berganti-kenakalanku membuatkan ibu terluka hati. Cubitan ibu mengajarku, leteran ibu motivasiku dan renungan tajam ibu peringatan buatku. Ibu banyak mendidikku penuh sabar, menjagaku ketika jatuh sakit dan mengembirakanku taktala pilu. Oh... sayang ibu tiada taranya.
Sesudah dewasa, ibu 'melepaskanku' ke dunia baru. Aku melangkah dunia serba indah tapi penuh amanah. Baru kusedar mendidik isteri dan anak-anak bukan kepalang payahnya. Namun isteriku yang memahami memudahkan segalanya. Mengenang kembali kasih ibu... tiada tukar gantinya. Hanya kupohon padaMU ALLAH, agar diri ibu sejahtera selamanya dunia dan akhirat.

Wednesday, May 7, 2008

Murtad

Waktu kelas di tingkatan 4 A1 akan bermula 5 minit lagi. Cikgu Aini bergegas ke kelas sambil membawa buku-buku pengajaran. Nafasnya tercungap-cungap disebabkan berjalan laju dan perasaan cemas jika lewat masuk ke kelas. Minggu lepas dia telah ditegur oleh Pengetua kerana masuk lewat dan pastinya dia tidak mahu ditegur lagi. Semasa dia melewati kelas 3 A5, matanya memandang ke arah hidung seorang pelajar perempuan.

"Zaharah! kenapa kamu memakai subang di hidung? Kamu kan orang Islam." Tegur Cikgu Aini kepada salah seorang pelajar.

"Ala cikgu... ini kan trend masa kini." Balas pelajar kepada Cikgu Aini acuh tak acuh.

"Kalau nak mengikut pun biarlah ada batasnya. Ini dah macam mengikut budaya agama hindu je..." Cikgu Aini membalas sambil memperkemaskan pegangan buku di tanganya.

"Saya memang dah tukar agama hindu dan cikgu boleh panggil saya Sujatha." Pelajar itu menjawab dan terus beredar meninggalkan Cikgu Aini. Perasaan Cikgu Aini bercampur-baur. Timbul perasaan marah apabila pelajar tadi tidak menghormatinya sebagai guru tetapi beransur-ansur bertukar ke perasaan resah dan gelisah.

"Apa dah jadi dengan akidah remaja Islam sekarang. Mungkinkah ada ramai lagi yang tergelincir akidahnya seperti Zaharah?" fikir Cikgu Aini di dalam benaknya.
"Apa pula alasan cikgu kali ini datang lewat ke kelas?" tegur Pengetua yang tiba-tiba muncul.

"Aaa hidung, subang, Sujatha." Latah Cikgu Aini dengan mukanya yang kaget.

Perhatian - watak (tiada kena mengena dengan yang hidup ataupun yang mati) dan suasana adalah imaginasi terhad saya, tetapi isu yang hendak diketengahkan adalah ISU MURTAD di kalangan remaja.

Kisah ini diberitahu oleh isteri saya yang baru pulang dari sekolah. Mungkin ada lagi kisah yang sebegini tetapi 'disenyapkan' untuk menjaga sensitiviti beberapa pihak sedangkan sensitiviti kita kepada Maha Pencinta dipandang sepi dan sunyi.

Saya secara peribadi menganggap isu ini sebagai isu yang sangat besar dan jika tidak diberi perhatian boleh mendatangkan bencana yang amat besar impaknya bukan sahaja kepada Islam itu sendiri malah kepada negara kita. Allah berfirman : Maka sesiapa di antara kamu yang murtad(berpaling padah) dari agamanya (agama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya(yang baik) di dunia dan akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya(selama-lamanya). Al-Baqarah 217.

Ada berbagai-bagai faktor yang menyebabkan remaja mudah terjerumus ke dalam gejala murtad. Salah satunya adalah tiada lagi nilai-nilai kekeluargaan Islam di dalam sesebuah keluarga. Saya petik kata-kata Faisal Tehrani di dalam bukunya Karya Nan Indah, mukasurat 191 :Malik Ben Nabi, filsuf Algeria yang tersohor menegaskan yang Barat berusaha melangsungkan penjajahan dengan cara melemahkan nilai-nilai kekeluargaan Islam, seterusnya menjadikan masyarakat lumpuh dan terasa hilang tumpuan tanpa nilai-nilai asas tersebut. Barat secara diam-diam menghapuskan prinsip dasar individu Muslim dengan merosakkan tumpuan akidahnya, melanggar sahsiahnya dan meruntuhkan pembangunan insani.

Unit keluarga adalah satu unit yang sangat penting di dalam pembentukan masyarakat dan negara. Tanggungjawab ibubapa terhadap anak-anak adalah ditagih. Kita sebagai ibubapa perlu berusaha memberikan segala bentuk komitmen dari segi tenaga, masa dan wang ringgit bagi memastikan pendidikan Islam kepada anak-anak diutamakan. Saya yakin jika segala usaha telah dibuat kita berserah kepada Allah untuk menjaga anak-anak kita dan jika takdirnya anak kita masih sesat di dalam gejala ini sekurang-kurangnya kita tidak dipertanggungjawabkan oleh Allah.
Semoga saya dan kita semua dapat memberikan yang terbaik untuk keluarga kita.
nota:
saya akan cuba mendapatkan statistik (bilangan orang Islam yang murtad) daripada Jab. Agama Islam Negeri.

Monday, May 5, 2008

Masa Kualiti

Hari Sabtu bersamaan 3.5.08, aku bersama-sama keluarga menziarahi adikku di Batu Pahat. Setelah bertangguh hampir dua kali, inilah kesempatan yang ada. Mak dan ayah tersenyum manis apabila aku mengajak mereka turut serta. Teringat kepada suatu peristiwa di mana pernah Rasulullah s.a.w ditanya: Mana satu manusia yang paling utama? Sabda Rasulullah s.a.w.: "Orang yang paling banyak taqwanya kepada Allah, paling tererat sekali perhubungannya dengan keluarga, paling suka menyuruh berbuat kebaikkan dan melarang berbuat kemungkaran."-Rujukan Bimbingan Mukmin (hak kaum kerabat dan keluarga), Imam Ghazali.

Kami telah menetapkan aktiviti yang perlu dilakukan adalah makan nasi briyani gam. Dengan pertolongan daripada kawan adikku, Restoran nasi briyani power telah menjadi pilihan. Bukan sahaja nasi briyaninya yang lazat malah keadaan restorannya bersih dan kemas serta begitu selesa untuk dikunjungi.

Kami menghabiskan masa bersama dengan berbual-bual mesra. Anakku yang sulong paling mencuri tumpuan dengan bacaan doa dan mengeja beberapa patah perkataan yang dipelajarinya di sekolah Pasti.. Entah kenapa dia tidak menunjukkan sikap pemalunya pada hari itu. Mungkin setelah mendengar nasihat daripada tok Samad (A. Samad Said) semasa kami bertemu di Pesta Buku Antarabangsa KL 2008. "Kenapa perlu malu", tutur tok samad pada anak sulong saya ketika enggan berjabat tangan.

Besar sekali tanggungjawabku malah seluruh ibubapa agar anak-anak dapat menjadi anak yang soleh dan solehah kerana menurut sebuah hadith, Rasulullah s.a.w bersabda "Adalah menjadi hak bagi anak ke atas ayahnya, agar ia memperelokkan budi pekertinya dan membaguskan namanya".